Jumaat, 30 November 2012

SEJARAH KAMPUNG SUNGAI DANGA .


Sejarah pembukaan Kampung Sungai Danga bermula dengan kedatangan sekumpulan orang-orang Bugis Wajo dari Sulawesi, Indonesia yang diketuai oleh Hj. Daeng Abd. Aziz Bin Mandak, seorang saudagar yang handal yang berulang alik dari Sulawesi, Singapura dan Tanah Arab. Hj. Daeng Abd. Aziz bersama pengikutnya telah meneroka tanah di Kg. Sungai Danga dari Menso (sekarang Taman Perling) sehingga hampir ke Pantai Lido. Keluasan tanah yang diteroka mencecah ratusan ekar. Disebabkan Hj. Daeng Abd. Aziz mempunyai banyak tanggungjawab terhadap pembukaan tanah dan perniagaan, maka urusan memajukan pembukaan tanah di Kg. Sg. Danga telah diserahkan kepada pembantunya, Tn. Hj. Daeng yunos Bin Laisang yang kemudian diambil menjadi menantunya. Dianggarkan pembukaan Kg. Sg. Danga adlah sekitar tahun 1890 an. Walau bagaimanapun, memandangkan pengasas Kg. Sg. Danga ini adalah berketurunan Daeng, maka kemungkinan ia mempunyai hubungan dengan kedatangan Putera-putera Raja bugis yang berketurunan Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Celah, Daeng Menambun dan Daeng Kewasi. Manakala Daeng Merewah adalah Yamtuan Muda johor sekitar 1722 hingga 1745.

Hj. Daeng Abd. Aziz mempunyai tiga orang anak iaitu Hjh. Andik Nur, Hjh. Andik Halimah dan Hj. Abd. Aziz @ Hj. Bedu. Hjh. Andik Halimah dan Hj. Abd. Aziz tinggal di Mekah sehingga meninggal dunia, manakala Hjh. Andik Nur yang tinggal di Kg. Sg. Danga telah dikahwinkan dengan anak Hj. Daeng Yunos Bin Laisang iaitu Haji Kassim.

Tanah-tanah yang telah dibuka ini dibantu oleh buruh-buruh kontrak yang kebanyakannya saudara mara Hj. Daeng Abd. Aziz yang dibawa dari Tanah Bugis. Kontrak mereka ada yang setahun, dua tahun dan lebih. Selepas tamat tempoh kontrak, mereka boleh membuka tanah sendiri dan melakukan pekerjaan lain. Tanah-tanah yang beratus ekar itu, kemudiannya telah dikurniakan oleh Temenggong Daeng Ibrahim iaitu Sultan Johor yang memerintah Di Telok Belanga, Singapura yang kemudian berpindah ke Bandar Iskandar Puteri yang kemudian dikenali sebagai Tanjung Puteri dan akhirnya Johor Bahru.

Nama ‘DANGA’ seperti yang diceritakan oleh orang-orang tua di kampung tersebut diambil sempena nama kuih yang diperbuat daripada tepung sagu berisi gula melaka dan disalut dengan kelapa. Kuih ini amat popular ketika itu dan dikatakan tahan lama dan mudah dibawa.

Hj. Daeng Yunos Bin Laisang mempunyai beberapa orang anak iaitu Hj. Kassim, Hjh. Saleha dan Hj. Mahmud. Hj. Kassim pula mempunyai beberapa orang anak, antaranya ialah Hj. Mohamad (Cikgu Abd. Aziz), Jamal, Hj. Mohd. Bakri, Hj. Amin(telah meninggal dunia) dan Mandak (Bekas Penghulu). Saudara mara rapat Hj. Daeng Yunos yang membantunya membuka tanah telah diberikan tanah sebanyak 5 ekar setiap seorang.

Berdasarkan salasiah keturunan Hj. Daeng Abd. Aziz, maka boleh dikatakan penduduk Danga yang berketurunan Bugis mempunyai hubungan dengan beliau dan akhirnya mereka yang berketurunan Bugis telah berkahwin dengan penduduk berketurunan Jawa. Akhirnya hampir keseluruhan penduduk Kg. Sungai Danga adalah dari keturunan yang sama.

Kg. Sungai Danga mempunyai kampung-kampung kecil dibawahnya satu ketika dahulu iaitu K. Sungai Temun, Kg. Sg. Pinang, Chu Kang dan kawasan yang dibuka oleh Hj. Habib Abd. Aziz (sekarang dikenali sebagai Jalan Tengah). Kini Kg. Sungai Danga telah mula membangun setelah lebih 100 tahun kewujudannya. Terdapat beberapa buah taman yang telah didirikan di tanah-tanah warisan Hj. Daeng iaitu Taman D’utama, Taman Permata dan taman Baiduri.

Chu Kang dahulunya adalah perkampungan Cina yang mempunyai tiga buah kedai dan sebuah sekolah. Namun apabila berlaku darurat penduduk Cina di kawasan itu telah dipindahkan. Sungai Temun pula adalah diambil dari keadaan aliran sungai yang bertemu di hulunya. Sungai Pinang pula diambil sempena kewujudan sebatang pokok pinang di kawasan itu.

Perkampungan orang Asli di sekitar Sungai Temun telah wujudpada tahun 1985 di tanag rezab laut. Ia diketuai oleh seorang Tok Batin, antaranya Tok batin Kassim, Tok Batin Palon dan Tok Batin Salim. Penduduk di kawasan ini lebih kurang 200 orang daripada lebih 40 buah keluarga.

Seramai 9 orang penghulu telah mentadbir kampung ini seperti Penghulu Abas (JMF), Penghulu Awang (JMF), Penghulu Majid, Penghulu Hamid, Penghulu Hj. Ismail, Penghulu Mandak (Keturunan Hj. Daeng), Penghulu Abas, Penghulu Hj. Yusof dan Penghulu Misbahuddin.

Kampung sungai Danga mempunyai beberapa kemudahan asas seperti Sekolah Rendah Kebangsaan Sg. Danga yang dibina pada tahun 1968. sekolah pertama dibina secara gotong-royong yang kemudiannya berpindah ke bangunan tetap pada tahun 1985. sekolah agama turut dibina pada tahun 2000. Walaupun sekolah ini telah wujud hampir seusia dengan sekolah kebangsaan, namun pada tahun 2001 ia dinaik taraf hingga wujud darjah 5 yang mana sebelumini hanya sampai darjah 4 sahaja.

Dewan raya dibina pada tahun 1980 dengan kos RM 50 000. masjid jamek pula telah beberapa kali dipindahkan tapaknya dari masjid asal di kawasan perkuburan Islam Kg. Sg. Danga. Asalnya masjid ini adalah bahagian yang hendak dibina di Seranggon yang tidak jadi lalu dibina dan dipindahkan oleh Hj. Yunos ke Kg. Sungai Danga. Masjid kedua adalah balai raya. Masjid ketiga pula sebuah bangunan yang agak sederhana dan pada tahun 1980 sebuah masjid besar bernilai RM 60 000 telah dibina.

Kemudahan jalan raya berturap telah dibina pada tahun 1980an. Sebelum itu, penduduk menggunakan laluan laut iaitu Selat Tebrau atau jalan tanah merah dari kilang Lee Pineapple. Kemudahan bekalan elektrik dan air bersih dibawa masuk sekitar tahun1980an dan pembinaan jambatan taman Perling telah membawa cahaya baru kepada penduduk Kg. Sungai Danga.

Perkembangan Kg. Sungai Danga dari hari ke hari bertambah pesat khususnya di kawasan sekitarnya. Perubahan-perubahan ini telah mengugat kestabilan Kg. Sungai Danga. Banyak tanah telah dijual dan tergadai akibat harga yang melambung tinggi. Projek Danga Bay mungkin satu lagi ancaman bagi generasi yang tidak bersedia dengan ilmu pengetahuan secukupnya. Kg. Sungai Danga semakin mengecil dikelilingi persekitaran mewah yang penuh dengan cabaran. Persoalannya adakah generasi akan datang mampu mempertahankan tanah-tanah warisan hasil titik peluh nenek moyang mereka, Hj, Daeng Abd. Aziz yang mampu meneroka dari selatan ke utara iaitu Pulau Langkawi ke tanah arab. Inilah cabaran anak-anak Kg. Sungai Dangauntuk mengangkat maruah harta warisan. Seluruh bumi Kg. Sungai Danga perlu dipertahankan demi sebuah kehidupan yang bernama tanah air, darah, air mata serta keringat nenek moyang.

Dipetik daripada :  hemdanga.blogspot(dot)com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan