Sejarah pembukaan
Kampung Sungai Danga bermula dengan kedatangan sekumpulan
orang-orang Bugis Wajo dari Sulawesi, Indonesia yang diketuai oleh Hj.
Daeng Abd. Aziz Bin Mandak, seorang saudagar yang handal yang berulang
alik dari Sulawesi, Singapura dan Tanah Arab. Hj. Daeng Abd. Aziz
bersama pengikutnya telah meneroka tanah di Kg. Sungai Danga dari Menso
(sekarang Taman Perling) sehingga hampir ke Pantai Lido. Keluasan
tanah yang diteroka mencecah ratusan ekar. Disebabkan Hj. Daeng Abd.
Aziz mempunyai banyak tanggungjawab terhadap pembukaan tanah dan
perniagaan, maka urusan memajukan pembukaan tanah di Kg. Sg. Danga
telah diserahkan kepada pembantunya, Tn. Hj. Daeng yunos Bin Laisang
yang kemudian diambil menjadi menantunya. Dianggarkan pembukaan Kg.
Sg. Danga adlah sekitar tahun 1890 an. Walau bagaimanapun,
memandangkan pengasas Kg. Sg. Danga ini adalah berketurunan Daeng, maka
kemungkinan ia mempunyai hubungan dengan kedatangan Putera-putera Raja
bugis yang berketurunan Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Celah,
Daeng Menambun dan Daeng Kewasi. Manakala Daeng Merewah adalah Yamtuan
Muda johor sekitar 1722 hingga 1745.
Hj. Daeng Abd. Aziz mempunyai tiga orang anak iaitu Hjh. Andik Nur,
Hjh. Andik Halimah dan Hj. Abd. Aziz @ Hj. Bedu. Hjh. Andik Halimah
dan Hj. Abd. Aziz tinggal di Mekah sehingga meninggal dunia, manakala
Hjh. Andik Nur yang tinggal di Kg. Sg. Danga telah dikahwinkan dengan
anak Hj. Daeng Yunos Bin Laisang iaitu Haji Kassim.
Tanah-tanah yang telah dibuka ini dibantu oleh buruh-buruh kontrak yang
kebanyakannya saudara mara Hj. Daeng Abd. Aziz yang dibawa dari Tanah
Bugis. Kontrak mereka ada yang setahun, dua tahun dan lebih. Selepas
tamat tempoh kontrak, mereka boleh membuka tanah sendiri dan melakukan
pekerjaan lain. Tanah-tanah yang beratus ekar itu, kemudiannya telah
dikurniakan oleh Temenggong Daeng Ibrahim iaitu Sultan Johor yang
memerintah Di Telok Belanga, Singapura yang kemudian berpindah ke Bandar
Iskandar Puteri yang kemudian dikenali sebagai Tanjung Puteri dan
akhirnya Johor Bahru.
Nama ‘DANGA’ seperti yang diceritakan oleh orang-orang tua di kampung
tersebut diambil sempena nama kuih yang diperbuat daripada tepung sagu
berisi gula melaka dan disalut dengan kelapa. Kuih ini amat popular
ketika itu dan dikatakan tahan lama dan mudah dibawa.
Hj. Daeng Yunos Bin Laisang mempunyai beberapa orang anak iaitu Hj. Kassim, Hjh. Saleha dan Hj. Mahmud.
Hj. Kassim pula mempunyai beberapa orang anak, antaranya ialah Hj.
Mohamad (Cikgu Abd. Aziz), Jamal, Hj. Mohd. Bakri, Hj. Amin(telah
meninggal dunia) dan Mandak (Bekas Penghulu). Saudara mara rapat Hj.
Daeng Yunos yang membantunya membuka tanah telah diberikan tanah
sebanyak 5 ekar setiap seorang.
Berdasarkan salasiah keturunan Hj. Daeng Abd. Aziz, maka boleh
dikatakan penduduk Danga yang berketurunan Bugis mempunyai hubungan
dengan beliau dan akhirnya mereka yang berketurunan Bugis telah
berkahwin dengan penduduk berketurunan Jawa. Akhirnya hampir
keseluruhan penduduk Kg. Sungai Danga adalah dari keturunan yang sama.
Kg. Sungai Danga mempunyai kampung-kampung kecil dibawahnya satu ketika
dahulu iaitu K. Sungai Temun, Kg. Sg. Pinang, Chu Kang dan kawasan
yang dibuka oleh Hj. Habib Abd. Aziz (sekarang dikenali sebagai Jalan
Tengah). Kini Kg. Sungai Danga telah mula membangun setelah lebih 100
tahun kewujudannya. Terdapat beberapa buah taman yang telah didirikan
di tanah-tanah warisan Hj. Daeng iaitu Taman D’utama, Taman Permata
dan taman Baiduri.
Chu Kang dahulunya adalah perkampungan Cina yang mempunyai tiga buah
kedai dan sebuah sekolah. Namun apabila berlaku darurat penduduk Cina
di kawasan itu telah dipindahkan. Sungai Temun pula adalah diambil
dari keadaan aliran sungai yang bertemu di hulunya. Sungai Pinang pula
diambil sempena kewujudan sebatang pokok pinang di kawasan itu.
Perkampungan orang Asli di sekitar Sungai Temun telah wujudpada tahun
1985 di tanag rezab laut. Ia diketuai oleh seorang Tok Batin,
antaranya Tok batin Kassim, Tok Batin Palon dan Tok Batin Salim.
Penduduk di kawasan ini lebih kurang 200 orang daripada lebih 40 buah
keluarga.
Seramai 9 orang penghulu telah mentadbir kampung ini seperti Penghulu
Abas (JMF), Penghulu Awang (JMF), Penghulu Majid, Penghulu Hamid,
Penghulu Hj. Ismail, Penghulu Mandak (Keturunan Hj. Daeng), Penghulu
Abas, Penghulu Hj. Yusof dan Penghulu Misbahuddin.
Kampung sungai Danga mempunyai beberapa kemudahan asas seperti Sekolah
Rendah Kebangsaan Sg. Danga yang dibina pada tahun 1968. sekolah
pertama dibina secara gotong-royong yang kemudiannya berpindah ke
bangunan tetap pada tahun 1985. sekolah agama turut dibina pada tahun
2000. Walaupun sekolah ini telah wujud hampir seusia dengan sekolah
kebangsaan, namun pada tahun 2001 ia dinaik taraf hingga wujud darjah 5
yang mana sebelumini hanya sampai darjah 4 sahaja.
Dewan raya dibina pada tahun 1980 dengan kos RM 50 000. masjid jamek
pula telah beberapa kali dipindahkan tapaknya dari masjid asal di
kawasan perkuburan Islam Kg. Sg. Danga. Asalnya masjid ini adalah
bahagian yang hendak dibina di Seranggon yang tidak jadi lalu dibina
dan dipindahkan oleh Hj. Yunos ke Kg. Sungai Danga. Masjid kedua
adalah balai raya. Masjid ketiga pula sebuah bangunan yang agak
sederhana dan pada tahun 1980 sebuah masjid besar bernilai RM 60 000
telah dibina.
Kemudahan jalan raya berturap telah dibina pada tahun 1980an. Sebelum
itu, penduduk menggunakan laluan laut iaitu Selat Tebrau atau jalan
tanah merah dari kilang Lee Pineapple. Kemudahan bekalan elektrik dan
air bersih dibawa masuk sekitar tahun1980an dan pembinaan jambatan
taman Perling telah membawa cahaya baru kepada penduduk Kg. Sungai
Danga.
Perkembangan Kg. Sungai Danga dari hari ke hari bertambah pesat
khususnya di kawasan sekitarnya. Perubahan-perubahan ini telah
mengugat kestabilan Kg. Sungai Danga. Banyak tanah telah dijual dan
tergadai akibat harga yang melambung tinggi. Projek Danga Bay mungkin
satu lagi ancaman bagi generasi yang tidak bersedia dengan ilmu
pengetahuan secukupnya. Kg. Sungai Danga semakin mengecil dikelilingi
persekitaran mewah yang penuh dengan cabaran. Persoalannya adakah
generasi akan datang mampu mempertahankan tanah-tanah warisan hasil
titik peluh nenek moyang mereka, Hj, Daeng Abd. Aziz yang mampu
meneroka dari selatan ke utara iaitu Pulau Langkawi ke tanah arab.
Inilah cabaran anak-anak Kg. Sungai Dangauntuk mengangkat maruah harta
warisan. Seluruh bumi Kg. Sungai Danga perlu dipertahankan demi sebuah
kehidupan yang bernama tanah air, darah, air mata serta keringat nenek
moyang.
Dipetik daripada : hemdanga.blogspot(dot)com